Saturday, 7 March 2015

ANAK LELAKI VS PEREMPUAN



Anak sulung anda perempuan dan anda tidak mempunyai banyak masalah misalnya mengajar dia membaca dan dia juga ikut arahan anda tanpa banyak membantah. Bagaimanapun, situasi ini tidak sama berlaku pada anak kedua anda, lelaki. Dan anda mula membanding-bandingkan si adik lelaki ini dengan kakaknya.

Karakter mereka jauh berbeza dan anda mendapati lebih lelah kala mengajar si adik! Kesannya, ramai ibu yang menganggap anak lelaki mereka itu tidak dengar kata, nakal, kurang gemar belajar, banyak bermain dan kurang tumpuan kepada sesuatu perkara.

Para ibu mesti mendalami karakter anak lelaki dan perempuan. Ini penting bagi memastikan para ibu memahami karakter mereka agar dapat mendidik si hero kesayangan dengan cara lebih berkesan. Ingat, jangan samakan anak lelaki dengan anak perempuan!





Perbezaan ketara antara anak lelaki dengan anak perempuan :

Lelaki
• Anak lelaki sangat suka memerhatikan pergerakan tubuh manusia. Mereka menggemari sesuatu yang dinamik dan anak lelaki lebih cepat pandai berjalan.
• Sejak dari kecil, jika diperhatikan bayi lelaki lebih kerap menggeliat, menendang kakinya dan bergerak lebih aktif berbanding bayi perempuan.
• Anak lelaki lebih mudah tersentuh hatinya berbanding anak perempuan. Memujuk anak lelaki yang menangis adalah lebih lama berbanding anak perempuan.
• Anak lelaki juga lebih menyukai kehadiran orang lain, terutama kelompok yang seusia dengannya. Tidak hairanlah, apabila menginjak dewasa mereka gemar membentuk persahabatan secara berkumpulan.
• Dalam satu kajian yang dilakukan kepada bayi berusia 3 hingga 12 bulan mendapati, bayi lelaki lebih pantas memberikan respons positif kepada suara-suara keras. Manakala bayi perempuan pula menunjukkan reaksi takut bila mendengar bunyi-bunyian yang agak keras dan garang itu. Ini jelas membuktikan bahawa anak lelaki lebih berani berbanding perempuan.

Perempuan
• Walaupun baru lahir, bayi perempuan akan cuba menjaga kontak mata dengan ibunya. Dan dalam komunikasi pula, anak perempuan lebih cepat mengeluarkan kata-kata pertama berbanding anak lelaki.
• Lebih bijak menggunakan tangannya. Jadi tidak hairanlah apabila anak perempuan dilihat lebih cepat bermain dengan pelbagai alat permainan maenggunakan senduk dan garpu walaupun dalam usia yang terlalu kecil dan lebih cepat mampu menulis dengan rapi.
• Anak perempuan juga lebih peka mengesan suara atau bunyi-bunyian. Anak perempuan lebih tertarik dengan suara manusia berbanding bunyi lain. Cuba anda bunyikan loceng kepada sepasang bayi berlainan jantina. Anda tidak dapat melihat perbezaan yang jelas antara respons bayi lelaki degan bayi perempuan. Tapi, cuba anda mengeluarkan suara seperti sedang berbual. Bayi perempuan akan menunjukkan minatnya untuk berbual dengan anda.
• Anak perempuan juga lebih tertarik untuk memerhatikan wajah seseorang, khususnya wajah lembut para ibu. Mereka lebih bijak membaca emosi orang lain.




Keperluan Si Anak Lelaki

Dalam budaya masyarakat kita hari ini, anak lelaki sering dinasihatkan agar tampil berani, selalu menang dan tidak boleh menangis. Jadi siapa yang harus disalahkan jika si anak lelaki bersikap agak kasar dan lasak? Sebagai ibu bapa, anda boleh menyampaikan nilai-nilai yang ingin ditanamkan dalam diri anak anda secara tidak langsung atau secara perkongsian pengalaman.

Awalnya, anak lelaki memiliki sikap terbuka yang sama seperti anak perempuan. Sebenarnya nilai-nilai positif mudah disampaikan kepada anak-anak yang masih kecil. Contohnya, ketika anak lelaki anda sedang bersedih, anda boleh mendekatinya dengan berkata; "Kenapa abang sedih? Ibu rasa lega kalau abang nak berkongsi masalah dengan ibu. Mungkin ibu boleh tolong?"

Hanya dengan dialog sedemikian, anda boleh mengenali emosinya sekali gus mengajarnya untuk saling berkongsi. Persiapkan anak lelaki anda untuk menghadapi pelbagai tekanan sosial sepanjang hidupnya, terutamanya yang berkaitan dengan tuntutan masyarakat agar senantiasa menjadi individu yang tegar. Jadi, penanaman nilai-nilai positif ini harus terus diperkukuhkan sehinggalah si anak dewasa.

Secara perlahan-lahan buka peluang kepada anak lelaki anda untuk berbicara tanpa dibayangi sikap terburu-buru. Mungkin anda boleh mengambil kesempatan untuk berbual sewaktu anak anda baru pulang dari sekolah atau sewaktu menghantarnya ke sekolah.

Rutin ringkas ini akan memberi kesempatan kepada anak lelaki anda untuk belajar bersikap terbuka.





Keperluan Si Anak Perempuan

Sikap saling berkongsi antara ibu dengan anak perempuannya menunjukkan langkah awal memupuk keakraban.

Kemampuan khusus anak perempuan atau ibunya untuk mengekspresikan perasaan-perasaan akan membantu mereka menjadi dekat antara satu sama lain. Anak perempuan akan mendapat pengalaman secara langsung dari ibunya dalam menghadapi pelbagai persoalan, seperti mengendalikan klik-klik sosial, meraih simpati orang lain dan sebagainya.

Sewaktu tahun-tahun pertama, ketika si manja sedang membangun identiti diri mengikut kesesuaian jantinanya (biasanya antara usia empat hingga enam tahun). Anak perempuan akan mengamati setiap gerak-geri ibunya sehingga dirinya boleh tampil seperti ibunya juga.

Biasanya masalah akan muncul jika proses identifikasi berlaku begitu kuat. Ini akan menyebabkan si ibu beranggapan dirinya benar-benar mengenali puterinya itu secara luar dan dalam. Akibatnya, si ibu tidak boleh lagi menjadi pendengar yang baik.

Ketika anak perempuan meningkat dewasa, pemerhatiannya akan berubah menjadi kritikan. Sebagai ibu anda tidak boleh silap dalam menilai kritikan yang disuarakan oleh si anak. Anak perempuan anda gemar menilai apa sahaja yang dilihat salah pada pandangan matanya. Dengan melepaskan emosinya kepada si ibu, anak perempuan berharap ia boleh difahami.




Didikan Anak Lelaki Dan Perempuan

1. Memang ada perbezaan ukuran bahagian otak antara anak lelaki dan perempuan. Faktor inilah yang mempengaruhi cara kerja otak mereka, misalnya pada kemampuan istimewa dan bahasa. Anak lelaki cenderung diam ketika mempelajari sesuatu, sementara anak perempuan pula lebih mudah faham jika melakukannya sambil bercakap.

2. Mengikut penelitian yang dilakukan oleh penulis buku Boys and Girls Learn Differently!,Michael Gurian, anak lelaki memiliki lebih sedikit saraf yang berhubung dengan emosi jika dibandingkan dengan anak perempuan. Kebanyakan anak perempuan lebih sensitif berbanding lelaki.

3. Secara psikologi anak di usia yang masih muda telah pun memiliki kesedaran dalam memilih permainan kegemarannya. Apabila dihubungkan dengan struktur otak dan saraf, anak perempuan yang lebih peka secara emosi berbanding anak lelaki akan memilih permainan yang memungkinkan dirinya berinteraksi, seperti anak patung. Sebaliknya, lelaki lebih tertarik dengan mainan yang berunsur kekuatan dan persaingan, seperti bermain bola atau ‘perang-perang’.

Namun, jika si anak memilih permainan di luar tradisi, ibu bapa tidak perlu bimbang. Bukan salah pada permainan yang tidak sesuai dengan gender si anak, tapi ibu bapa perlu mengajar si anak agar memahami tentang identiti seksualnya.